Bingkisan Buat Suraya
Assalamualaikum wbt,
Segala himpunan puji-pujian
hanyalah untuk Allah swt, Rabb sekalian alam.
Selawat dan salam untuk junjungan besar baginda Rasulullah SAW, ahli
keluarganya, barisan para sahabat seterusnya pejuang-pejuang ad deen yang telah
syahid dan juga yang masih dalam perjalanan menuju syahid.
Suraya yang diingati,
Entah berapa kali,
komputer ribaku di renjis air mata sendiri.
Setiap kali aku ingin memulakan warkah ini, sedih menyelubungi
hati. Kenangan demi kenangan datang
menerjah ke fikiran dan mengganggu hajatku ingin menulis kepadamu. Apakhabar dirimu sekarang? Emm...sudah tentu sedikit sebanyak aku
mengetahui juga...sering kali tulisanmu muncul di beberapa majalah terkenal
tanahair dan adakalanya engkau muncul di kaca televisyen. Apakhabar Anuar? Apakhabar juga putera-puterimu, Aiman dan
Sakinah?
Suraya yang dikasihi
fillah,
Hebatnya perasaan
rinduku padamu, hanya Allah yang lebih mengetahui. Terlalu lama kita dipisahkan oleh keadaan dan
masa. Syukur! akhirnya dapat juga aku
menjejaki alamat ‘e-mail’mu ini. Bukan
aku ingin bercerita tentang perkara lepas yang telah lama berlalu, cuma aku
perlu memberitahu padamu apa perkara sebenarnya yang telah berlaku, agar tiada
rasa hati, tiada rasa buruk sangka sesama kita.
Sekurang-kurangnya aku ingin engkau tahu, bahawa aku bukan perampas
kebahagiaanmu.....
Su,
Izuddin, pelajar
kejuruteraan kacukan melayu-cina itu memang menjadi rebutan ramai. Orangnya warak dan sentiasa menjadi perhatian
di kampus. Ya, namun didikan iman yang
sama-sama kita lalui dari MRSM lagi tidak memungkinkan kita juga seperti orang
lain yang berebut-rebut ingin mendampinginya.
Apatah lagi sifat peramah dan mesranya di bilik MPP menyebabkan ramai
juga yang terperasan! Aku yang berkulit gelap tapi manis ini, tidak pernah
sekali pun termimpi untuk bergandingan dengannya. Aku selalu juga perasan, sesekali Izuddin
mencuri pandang kearahmu semasa mesyuarat di jalankan...dan sekali lagi didikan
iman menjadi benteng agar kita tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan
melainkan atas tuntutan yang perlu.
Su yang dirindui...
Hampir 11 tahun sudah
kita tidak bertemu. Rajukmu panjang! Marahmu tanpa sebab! Begitu mudah Su,
engkau meminggirkan aku dari kamus hidupmu. Namun, aku kenal hati budimu
Suraya. Sejak di tingkatan 1, kita mula
kenal dan terus rapat, sehinggalah gelaran pelajar terbaik SPM tahun 1991
sama-sama kita rangkul. Engkau ingat
lagi dengan Mr Tan? Guru fizik yang sentiasa menjadi bahan ketawa kita, ya...
lah seluar ala 70 annya itu sering menjadi gurauan kita. Ingat lagi dengan
gerai Mak Ngah Bedah di luar pintu maktab?
Masih aku terasa kesedapan cendol pulutnya itu! Ada lagikah warungnya itu? Entahlah... aku pun sudah begitu lama tidak
ke Perlis. Yang penting, engkau masih cantik menawan seperti dulu,
berseri-seri wajahmu muncul di kaca TV, sayangnya gayamu sudah jauh
berubah. Bertuah Anuar! Tahniah juga untuk pengajian PHD yang baru
engkau selesaikan. Ya, seperti yang kita
impikan bersama-sama dahulu, semasa mengulangkaji di bawah pohon ketapang
sebelah kantin maktab. Sekali lagi tahniah, Dr Suraya bt Dato’ Manan.
Su,
Selepas berita
pertunanganku tersebar luas di kampus, aku begitu tertekan. Entah siapa yang bawa mulut. Aku menangis, aku sedih tiada siapa yang
tahu. Fikiranku betul-betul
terganggu. Engkau melarikan diri
langsung dariku. Aku berusaha untuk
menerangkan kedudukan yang sebenarnya, tapi Allah tidak memberi aku ruang untuk
aku bersemuka denganmu. Engkau terus
menyembunyikan diri dariku. Di manakah
rasa mahabbah, rasa ukhuwah yang selama ini kita bina? Su, aku bertunang dengan Izuddin atas
perancangan keluarga, kami sendiri tidak pernah tahu menahu. Izuddin yang semasa itu telah berada di UK
untuk menyambung pelajaran, hanya menurut sahaja pilihan ibu dan ayahnya. Namun akulah lilin yang membakar diri...aku
terima ini sebagai ketentuan dan ujian dari Ilahi. Aku terpaksa menurut desakan keluarga,
walaupun aku telah berusaha untuk lari dari ikatan itu, namun aku tidak mampu
Su... dan tidak mungkin aku menderhakai ibu dan ayahku...
Su,
Keputusan peperiksaan
semester akhir, menghadiahkan aku 2E untuk subjek teras program, yang memaksa
aku untuk berhadapan dengan semester tambahan.
Masa itu engkau sudah terlalu jauh dariku! Di program-program usrah juga
engkau tidak lagi ku temui. Walaupun aku tahu engkau menyambung pengajian sarjana
di kampus yang sama. Semester tambahan
ku lalui dengan tabah! Bersendirian di
tasik ilmu, aku gunakan sebaiknya untuk menebus kesilapan. Aku perlu bangun, tidak mungkin aku
mensia-siakan pengajianku ini, walaupun
lewat setahun dari tempoh sebenar, ku genggam juga akhirnya sekeping kertas
yang dinamakan ijazah, kerana kertas itu ada harga dan nilai.
Suraya...
Kebahagiaan, rezeki
dan harta semua itu hak mutlak Allah, untuk diagih-agihkan kepada
hamba-hambaNya. Sifat Ar Rahman dan Ar
RahimNya sentiasa bersama kita. Majlis
perkahwinanku berlangsung sejurus selepas aku menamatkan pengajian. Ikatan perniagaan antara keluargaku dan
keluarga Izuddin dikuatkan lagi dengan ikatan perkahwinan kami. Bibirku tersenyum, taktala Izuddin
menyarungkan sebentuk cincin berlian di dalam upacara membatalkan air
sembahyang. Terlalu meriah majlis itu,
kegembiraan jelas terbayang di wajah kedua orang tua kami, kaum keluarga dan
kawan-kawan yang hadir. Tapi sekali lagi
Su...akulah lilin yang membakar diri.
Senyuman dibibirku hanya lakonan, hatiku terlalu sedih...kerana
perkahwinan ini...aku kehilangan engkau...sahabat yang sama-sama berjuang atas
dasar iman dan Islam.
Suraya...
Masa terus
berlalu. Aku tidak pernah
melupakanmu. Doaku sentiasa
mengiringimu. Kita berhajat dan kita merancang, tetapi Su... Allah Maha merancang! Kita akur dengan semua ketetapanNya. Semua
yang Allah susun untuk kita bukan secara kebetulan, semuanya ada hikmah yang
tersembunyi. Semuanya adalah untuk
kebahagiaan dan kebaikan kita. Besar harapanku
engkau akan membalas e-mail ku ini. Aku
suka dan senang untuk berkongsi kebahagiaanmu di sana. Tentu Aiman dan Sakinah secomel Uminya juga. Aku juga ingin berkongsi ilmu dan
cerita...mungkin juga resepi! Rindu aku dengan laksa Johor engkau yang memang
sedap! Aku sendirian sahaja di rumah
malam ini, Izuddin di rumah isteri
keduanya... wassalam.
Sahabatmu...
Nurin Izzati bt Abd Kadir,
Jakarta, Indonesia.