Thursday, June 6, 2013

27 REJAB 1434H

Assalamualaikum wbt,

Masa terus berlalu.  Mahu tidak mahu usia berinjak setahap lagi.  Apakah kita telah berbekal?  Berbekal untuk bertemuNya.

     "Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepadaKu hai orang-orang yang berakal"  Al Baqarah : 197.  Oleh itu takwa lah sebaik-baik bekal.

Bila sampai bulan Rejab, selalu sahaja kita berdoa agar diberkati dan disampaikan ke bulan Ramadan yang penuh keberkatan.  Maka marilah kita sama-sama merasai desiran angin suci rejab yang hanya bersisa beberapa hari lagi dengan memperbanyakkan amal soleh. Puasa sunat, taddabur al quran, solat malam, zikir, muhasabah diri (buang mazmumah, tingkatkan mahmudah), berdakwah dan segala kegiatan kita niatkan sebagai ibadah.  Jika dipanjangkan umur bertemu Ramadan kita telah bersedia zahir dan batin. 

Isra' dan mikraj adalah mukjizat agung Rasullah SAW.  Kita mengingatinya untuk membangkitkan roh keinsafan, betapa kita perlu untuk memuliakan tarikh-tarikh penting di dalam sejarah Islam. Jangan kita jadi seperti orang -orang munafik yang mentertawakan kehebatan Rasulullah SAW yang diangkatkan ke langit oleh Allah SWT dalam tempoh semalaman sahaja.  Sebaliknya kita kagum bagaimana Allah SWT telah memperjalankan Baginda Rasulullah SAW bermula dari Masjidil Haram, Makkah.  Baginda transit sebentar di Masjid Al Aqsa di Palestin sebelum naik ke langit ke lapisan langit tertinggi untuk bertemu Allah SWT.

InsyaAllah, dengan nikmat panjang umur yang dikurniakan Allah SWT kepada kita, nikmat kesihatan yang berpanjangan, maka MARI KITA TERUS MEMBINA AZAM UNTUK MENJADI HAMBA ALLAH YANG TAAT.


No comments:

Post a Comment