Saturday, June 29, 2013

RAMADAN DATANG LAGI

RAMADAN DATANG LAGI!

Ramadan datang lagi
Menyapa lembut jiwa-jiwa kami
Yang dahagakan keampunan

Ramadan datang lagi
Bersama hembusan angin suci
Yang menjanjikan rahmat dan berkat

Ramadan datang lagi
Memberikan peluang dan ruang
Bagi yang ikhlas mensucikan hati
Buat bekal perjalanan duniawi
Agar tetap teguh memburu redha Ilahi

Ramadan datang lagi
Apabila warna hati hampir kelabu
Membasuh dosa dan noda
Membalut duka dan luka

Dalam sepi perjalanan seorang hamba!

21 SYAABAN 1434

Assalamualaikum wbt,

Penbaca-pembaca di alam maya sekalian.

Walau sesaat kita mampu menunda masa mahu pun mempercepatkannya.  Teruslah masa berlari meninggalkan kita.  Kurang lebih 10 hari lagi kita akan bertemu Ramadan jika di panjangkan umur, insyaAllah.  

Ukhuwah Fillah atau persaudaraan kerana Allah mudah untuk disebut tetapi memerlukan jihad dan pengorbanan untuk melaksanakan.  Saya memandu hampir 3 jam pergi dan balik untuk melaksanakan satu misi ziarah.  Menziarah untuk mengenali. Agar berdekatan hati saya dengan hati mereka yang belum pernah saya kenali sebelum ini.  Inilah sebahagian dari tugas-tugas dakwah bagi  mereka-mereka yang kehidupannya adalah dakwah.

Muhammad bin Abdullah adalah contoh tertinggi dalam bab ukhuwah dan kesetiaan. Sehingga para sahabat   
merasakan merekalah yang paling dicintai oleh baginda.  Sesungguhnya nikmat dan kemanisan ukhuwah ini hanya dirasai oleh hati-hati yang diredhai oleh Allah swt.

Firman Allah swt "Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang daripadaKu dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasanKu"  (Thaha : 39)

Sempena Ramadan yang hampir tiba mari kita pertingkatkan keimanan.  Iman tertingkat, ukhuwah juga akan meningkat seiiring. Ukhuwah fillah yang ikhlas juga akan memudahkan kita mendapat perlindungan Allah di padang masyar kelak.  Sabda Rasulullah saw: Tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah di padang masyar kelak ialah:

1.  Pemimpin yang adil.

2.  Pemuda yang masa hidupnya digunakan untuk beribadat kepada Allah.

3.  Orang yang hatinya selalu terikat dengan masjid.

4.  Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah.

5.  Laki-laki yang diajak berbuat maksiat oleh wanita bangsawan lagi cantik, tetapi dia menolak dan berkata,  "Saya takut kepada Allah".

6.  Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.

7.  Orang yang selalu berzikir pada waktu menyendiri sampai mencucurkan air mata.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Thursday, June 6, 2013

27 REJAB 1434H

Assalamualaikum wbt,

Masa terus berlalu.  Mahu tidak mahu usia berinjak setahap lagi.  Apakah kita telah berbekal?  Berbekal untuk bertemuNya.

     "Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepadaKu hai orang-orang yang berakal"  Al Baqarah : 197.  Oleh itu takwa lah sebaik-baik bekal.

Bila sampai bulan Rejab, selalu sahaja kita berdoa agar diberkati dan disampaikan ke bulan Ramadan yang penuh keberkatan.  Maka marilah kita sama-sama merasai desiran angin suci rejab yang hanya bersisa beberapa hari lagi dengan memperbanyakkan amal soleh. Puasa sunat, taddabur al quran, solat malam, zikir, muhasabah diri (buang mazmumah, tingkatkan mahmudah), berdakwah dan segala kegiatan kita niatkan sebagai ibadah.  Jika dipanjangkan umur bertemu Ramadan kita telah bersedia zahir dan batin. 

Isra' dan mikraj adalah mukjizat agung Rasullah SAW.  Kita mengingatinya untuk membangkitkan roh keinsafan, betapa kita perlu untuk memuliakan tarikh-tarikh penting di dalam sejarah Islam. Jangan kita jadi seperti orang -orang munafik yang mentertawakan kehebatan Rasulullah SAW yang diangkatkan ke langit oleh Allah SWT dalam tempoh semalaman sahaja.  Sebaliknya kita kagum bagaimana Allah SWT telah memperjalankan Baginda Rasulullah SAW bermula dari Masjidil Haram, Makkah.  Baginda transit sebentar di Masjid Al Aqsa di Palestin sebelum naik ke langit ke lapisan langit tertinggi untuk bertemu Allah SWT.

InsyaAllah, dengan nikmat panjang umur yang dikurniakan Allah SWT kepada kita, nikmat kesihatan yang berpanjangan, maka MARI KITA TERUS MEMBINA AZAM UNTUK MENJADI HAMBA ALLAH YANG TAAT.