Wednesday, July 10, 2013

RAMADAN 1434H - BEREHATLAH DENGAN PUASA

Rehat, rehat, rehat.  Semua orang suka rehat, malah ada yang sanggup ‘curi tulang’ untuk rehat. Boss memang tidak nampak tapi Allah nampak. Suka untuk saya mengaitkan kerehatan dengan puasa. Kerehatan untuk jasad dan roh yang akan membuahkan ketenangan dan kebahagiaan. Bulan Ramadan telah tiba. Para sollefussoleh telah bersedia seawal enam bulan sebelum Ramadan datang, mereka begitu teruja dan begitu merindukan kelazatan beribadah di bulan mulia itu.

Saya juga telah berusaha sewal Syaaban dan sebaik sahaja tibanya asar 30 Syaaban, saya meletakkan satu ‘mind setting’ bahawa Ramadan telah tiba. Selain dari itu saya tidak putus-putus berdoa, ‘Ya Allah berkatilah aku di bulan Syaaban ini dan sampaikan aku ke bulan Ramadan’.  Saya resapkan di dalam jiwa bahawa udara Ramadan adalah yang terbersih (penuh rahmat dan kebaikan) dan berkatnya 24 jam/7 hari seminggu.

REJAB, SYAABAN DAN PUASA SUNAT
            Bagi orang awam yang berjiwa Islam mereka mula teruja untuk berjumpa Ramadan seawal bulan rejab. Bila berada di ambang Syaaban debaran semakin terasa. Menggantikan puasa kebiasaannya dikaitkan dengan orang perempuan, bagi yang ‘terbiasa’ melambatkan tanggungjawab ini akan mula terkejar-terkejar untuk melunaskannya. Puasa sunat adalah antara amalan yang dituntut sepanjang Rejab dan Syaaban. Malah dalam seminggu puasa sunat juga dituntut pada hari Isnin dan khamis selain berpuasa pada hari-hari putih. Ini menunjukkani puasa mempunyai kehebatan tersendiri dari sudut rohani dan jasmani.

RAMADAN - HADIAH DARI ALLAH
Siapa tidak suka rehat.  Puasa adalah kerehatan. Allah menghadiahkan Ramadan sebagai medan untuk melatih jiwa dan jasad.  Sambil berehat kita akan memperolehi kebaikan. Sistem pencernaan berehat tidak memproses makanan. Jiwa lebih terarah kepada kebaikan dan menjauhi perkara sia-sia dan dosa. Maka segarlah jasad dan roh. 
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183: 
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu termasuk di dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa"
Perkataan 'semoga' di dalam ayat di atas sepatutnya menggerunkan kita, bahawa dengan melaksanakan ibadah puasa, mungkin sebahagian beroleh taqwa dan mungkin pula sebahagian yang lain hanya mewarisi lapar dan dahaga. Sabda Nabi SAW: 
"Berapa ramai di kalangan orang yang berpuasa, tidaklah mereka itu memperolehi apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga."
Jadi bagi mereka-mereka yang mendambakan takwa, yang menjadikan takwa matlamat utama kehidupannya  maka madrasah Ramadan adalah medannya.  Hidupkan Ramadan dengan amal soleh, hubungkan jiwa anda dengan Allah swt semaksima yang mungkin.

Dengan cergasnya fizikal dan jasmani maka jiwa lebih mudah terarah kepada kebaikan dan amal soleh.  Lidah lebih fasih dan lunak untuk melantunkan ayat-ayat suci al Quran. Tangan lebih ringan untuk menghulur sedekah.  Hati menjadi lembut untuk menyantuni fakir miskin dan seluruh kehidupan lebih tertumpu untuk mendambakan redha Allah swt 

No comments:

Post a Comment