Thursday, July 25, 2013

KEKASIH YANG SEMAKIN MENJAUH

Oh kekasih yang hadir setahun sekali
Pantas masa berlalu mendebarkan jiwa
Cuba ku kutip semua kebaikan
Sepanjang pertemuan ini
Kehadiranmu kekasih
Menyiram harapan yang tandus
Membasuh jiwa yang kekotoran
Menyegarkan impian yang kelam
Meredakan nafsu yang bergelora
Agar tunduk tetap kepada yang Esa
Wahai kekasih yang dirindui
Pertemuan sepurnama
Terus berlalu
Jangan tinggalkan daku kekasih
Selagi tidak ku genggam
Piala taqwa
Kekasihku bersuara
Aku tetap akan pergi
Jika panjang umurmu
Tahun depan mungkin bersua
Kekasihku bersuara lagi                                        
Jangan jadi hamba Ramadan
Tetapi binalah peribadi rabbani
Kerana zat yang satu

Tidak mungkin meninggalkanmu

Thursday, July 18, 2013

AKULAH HAMBA

AKULAH HAMBA

Kala aku datang menghampir
Engkau seakan lupa
Dosaku yang menggunung tinggi

Kala aku hampir tersungkur
Engkau dengan penuh kasih
Memaut jari jemariku erat
Sungguh
Engkau Maha pengasih
Maha pengampun

Kala sujudku rebah
Jiwa dipenuhi ketenangan
Fikiran terarah satu, mardhatillah
Seluruh sendi meraikan kebahagiaan

Nikmatnya menjadi hamba

Wednesday, July 10, 2013

RAMADAN 1434H - BEREHATLAH DENGAN PUASA

Rehat, rehat, rehat.  Semua orang suka rehat, malah ada yang sanggup ‘curi tulang’ untuk rehat. Boss memang tidak nampak tapi Allah nampak. Suka untuk saya mengaitkan kerehatan dengan puasa. Kerehatan untuk jasad dan roh yang akan membuahkan ketenangan dan kebahagiaan. Bulan Ramadan telah tiba. Para sollefussoleh telah bersedia seawal enam bulan sebelum Ramadan datang, mereka begitu teruja dan begitu merindukan kelazatan beribadah di bulan mulia itu.

Saya juga telah berusaha sewal Syaaban dan sebaik sahaja tibanya asar 30 Syaaban, saya meletakkan satu ‘mind setting’ bahawa Ramadan telah tiba. Selain dari itu saya tidak putus-putus berdoa, ‘Ya Allah berkatilah aku di bulan Syaaban ini dan sampaikan aku ke bulan Ramadan’.  Saya resapkan di dalam jiwa bahawa udara Ramadan adalah yang terbersih (penuh rahmat dan kebaikan) dan berkatnya 24 jam/7 hari seminggu.

REJAB, SYAABAN DAN PUASA SUNAT
            Bagi orang awam yang berjiwa Islam mereka mula teruja untuk berjumpa Ramadan seawal bulan rejab. Bila berada di ambang Syaaban debaran semakin terasa. Menggantikan puasa kebiasaannya dikaitkan dengan orang perempuan, bagi yang ‘terbiasa’ melambatkan tanggungjawab ini akan mula terkejar-terkejar untuk melunaskannya. Puasa sunat adalah antara amalan yang dituntut sepanjang Rejab dan Syaaban. Malah dalam seminggu puasa sunat juga dituntut pada hari Isnin dan khamis selain berpuasa pada hari-hari putih. Ini menunjukkani puasa mempunyai kehebatan tersendiri dari sudut rohani dan jasmani.

RAMADAN - HADIAH DARI ALLAH
Siapa tidak suka rehat.  Puasa adalah kerehatan. Allah menghadiahkan Ramadan sebagai medan untuk melatih jiwa dan jasad.  Sambil berehat kita akan memperolehi kebaikan. Sistem pencernaan berehat tidak memproses makanan. Jiwa lebih terarah kepada kebaikan dan menjauhi perkara sia-sia dan dosa. Maka segarlah jasad dan roh. 
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183: 
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu termasuk di dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa"
Perkataan 'semoga' di dalam ayat di atas sepatutnya menggerunkan kita, bahawa dengan melaksanakan ibadah puasa, mungkin sebahagian beroleh taqwa dan mungkin pula sebahagian yang lain hanya mewarisi lapar dan dahaga. Sabda Nabi SAW: 
"Berapa ramai di kalangan orang yang berpuasa, tidaklah mereka itu memperolehi apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga."
Jadi bagi mereka-mereka yang mendambakan takwa, yang menjadikan takwa matlamat utama kehidupannya  maka madrasah Ramadan adalah medannya.  Hidupkan Ramadan dengan amal soleh, hubungkan jiwa anda dengan Allah swt semaksima yang mungkin.

Dengan cergasnya fizikal dan jasmani maka jiwa lebih mudah terarah kepada kebaikan dan amal soleh.  Lidah lebih fasih dan lunak untuk melantunkan ayat-ayat suci al Quran. Tangan lebih ringan untuk menghulur sedekah.  Hati menjadi lembut untuk menyantuni fakir miskin dan seluruh kehidupan lebih tertumpu untuk mendambakan redha Allah swt 

Monday, July 8, 2013

JIHAD KEHIDUPAN

KEHIDUPAN ITU ADALAH JIHAD

Kehidupan ini banyak ragamnya
Telah ku alami pelbagai rasa

Antara kenikmatan dan kepayahan
Ada ujian tidak mampu meragut damai
Ada nikmat tidak mampu menggoyah iman

Walau apapun berlaku
Izinkan tuhan
Semuanya tidak akan membenamkan dadaku
Walau apapun menimpa
Izinkan tuhan
Semuanya tidak akan menghentikan nafasku

Friday, July 5, 2013

BINGKISAN BUAT SURAYA

Bingkisan Buat Suraya

Assalamualaikum wbt,

Segala himpunan puji-pujian hanyalah untuk Allah swt, Rabb sekalian alam.  Selawat dan salam untuk junjungan besar baginda Rasulullah SAW, ahli keluarganya, barisan para sahabat seterusnya pejuang-pejuang ad deen yang telah syahid dan juga yang masih dalam perjalanan menuju syahid.

Suraya yang diingati,
Entah berapa kali, komputer ribaku di renjis air mata sendiri.  Setiap kali aku ingin memulakan warkah ini, sedih menyelubungi hati.  Kenangan demi kenangan datang menerjah ke fikiran dan mengganggu hajatku ingin menulis kepadamu.  Apakhabar dirimu sekarang?  Emm...sudah tentu sedikit sebanyak aku mengetahui juga...sering kali tulisanmu muncul di beberapa majalah terkenal tanahair dan adakalanya engkau muncul di kaca televisyen.  Apakhabar Anuar?  Apakhabar juga putera-puterimu, Aiman dan Sakinah?

Suraya yang dikasihi fillah,
Hebatnya perasaan rinduku padamu, hanya Allah yang lebih mengetahui.  Terlalu lama kita dipisahkan oleh keadaan dan masa.  Syukur! akhirnya dapat juga aku menjejaki alamat ‘e-mail’mu ini.  Bukan aku ingin bercerita tentang perkara lepas yang telah lama berlalu, cuma aku perlu memberitahu padamu apa perkara sebenarnya yang telah berlaku, agar tiada rasa hati, tiada rasa buruk sangka sesama kita.  Sekurang-kurangnya aku ingin engkau tahu, bahawa aku bukan perampas kebahagiaanmu.....

Su,
Izuddin, pelajar kejuruteraan kacukan melayu-cina itu memang menjadi rebutan ramai.  Orangnya warak dan sentiasa menjadi perhatian di kampus.  Ya, namun didikan iman yang sama-sama kita lalui dari MRSM lagi tidak memungkinkan kita juga seperti orang lain yang berebut-rebut ingin mendampinginya.  Apatah lagi sifat peramah dan mesranya di bilik MPP menyebabkan ramai juga yang terperasan! Aku yang berkulit gelap tapi manis ini, tidak pernah sekali pun termimpi untuk bergandingan dengannya.  Aku selalu juga perasan, sesekali Izuddin mencuri pandang kearahmu semasa mesyuarat di jalankan...dan sekali lagi didikan iman menjadi benteng agar kita tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan melainkan atas tuntutan yang perlu.

Su yang dirindui...  
Hampir 11 tahun sudah kita tidak bertemu. Rajukmu panjang! Marahmu tanpa sebab! Begitu mudah Su, engkau meminggirkan aku dari kamus hidupmu. Namun, aku kenal hati budimu Suraya.  Sejak di tingkatan 1, kita mula kenal dan terus rapat, sehinggalah gelaran pelajar terbaik SPM tahun 1991 sama-sama kita rangkul.  Engkau ingat lagi dengan Mr Tan? Guru fizik yang sentiasa menjadi bahan ketawa kita, ya... lah seluar ala 70 annya itu sering menjadi gurauan kita. Ingat lagi dengan gerai Mak Ngah Bedah di luar pintu maktab?  Masih aku terasa kesedapan cendol pulutnya itu!  Ada lagikah warungnya itu?  Entahlah... aku pun sudah begitu lama tidak ke Perlis.  Yang penting,  engkau masih cantik menawan seperti dulu, berseri-seri wajahmu muncul di kaca TV, sayangnya gayamu sudah jauh berubah.  Bertuah Anuar!  Tahniah juga untuk pengajian PHD yang baru engkau selesaikan.  Ya, seperti yang kita impikan bersama-sama dahulu, semasa mengulangkaji di bawah pohon ketapang sebelah kantin maktab. Sekali lagi tahniah, Dr Suraya bt  Dato’ Manan.

Su,
Selepas berita pertunanganku tersebar luas di kampus, aku begitu tertekan.  Entah siapa yang bawa mulut.  Aku menangis, aku sedih tiada siapa yang tahu.  Fikiranku betul-betul terganggu.  Engkau melarikan diri langsung dariku.  Aku berusaha untuk menerangkan kedudukan yang sebenarnya, tapi Allah tidak memberi aku ruang untuk aku bersemuka denganmu.  Engkau terus menyembunyikan diri dariku.  Di manakah rasa mahabbah, rasa ukhuwah yang selama ini kita bina?  Su, aku bertunang dengan Izuddin atas perancangan keluarga, kami sendiri tidak pernah tahu menahu.  Izuddin yang semasa itu telah berada di UK untuk menyambung pelajaran, hanya menurut sahaja pilihan ibu dan ayahnya.  Namun akulah lilin yang membakar diri...aku terima ini sebagai ketentuan dan ujian dari Ilahi.  Aku terpaksa menurut desakan keluarga, walaupun aku telah berusaha untuk lari dari ikatan itu, namun aku tidak mampu Su... dan tidak mungkin aku menderhakai ibu dan ayahku...

Su,
Keputusan peperiksaan semester akhir, menghadiahkan aku 2E untuk subjek teras program, yang memaksa aku untuk berhadapan dengan semester tambahan.  Masa itu engkau sudah terlalu jauh dariku! Di program-program usrah juga engkau tidak lagi ku temui. Walaupun aku tahu engkau menyambung pengajian sarjana di kampus yang sama.  Semester tambahan ku lalui dengan tabah!  Bersendirian di tasik ilmu, aku gunakan sebaiknya untuk menebus kesilapan.  Aku perlu bangun, tidak mungkin aku mensia-siakan pengajianku ini,  walaupun lewat setahun dari tempoh sebenar, ku genggam juga akhirnya sekeping kertas yang dinamakan ijazah, kerana kertas itu ada harga dan nilai.

Suraya...
Kebahagiaan, rezeki dan harta semua itu hak mutlak Allah, untuk diagih-agihkan kepada hamba-hambaNya.  Sifat Ar Rahman dan Ar RahimNya sentiasa bersama kita.  Majlis perkahwinanku berlangsung sejurus selepas aku menamatkan pengajian.  Ikatan perniagaan antara keluargaku dan keluarga Izuddin dikuatkan lagi dengan ikatan perkahwinan kami.  Bibirku tersenyum, taktala Izuddin menyarungkan sebentuk cincin berlian di dalam upacara membatalkan air sembahyang.  Terlalu meriah majlis itu, kegembiraan jelas terbayang di wajah kedua orang tua kami, kaum keluarga dan kawan-kawan yang hadir.  Tapi sekali lagi Su...akulah lilin yang membakar diri.  Senyuman dibibirku hanya lakonan, hatiku terlalu sedih...kerana perkahwinan ini...aku kehilangan engkau...sahabat yang sama-sama berjuang atas dasar iman dan Islam.

Suraya...
Masa terus berlalu.  Aku tidak pernah melupakanmu.  Doaku sentiasa mengiringimu. Kita berhajat dan kita merancang, tetapi Su...  Allah Maha merancang!  Kita akur dengan semua ketetapanNya. Semua yang Allah susun untuk kita bukan secara kebetulan, semuanya ada hikmah yang tersembunyi.  Semuanya adalah untuk kebahagiaan dan kebaikan kita.  Besar harapanku engkau akan membalas e-mail ku ini.  Aku suka dan senang untuk berkongsi kebahagiaanmu di sana.  Tentu Aiman dan Sakinah secomel Uminya juga.  Aku juga ingin berkongsi ilmu dan cerita...mungkin juga resepi! Rindu aku dengan laksa Johor engkau yang memang sedap!  Aku sendirian sahaja di rumah malam ini,  Izuddin di rumah isteri keduanya... wassalam. 

Sahabatmu...
Nurin Izzati bt Abd Kadir,

Jakarta, Indonesia.

Saturday, June 29, 2013

RAMADAN DATANG LAGI

RAMADAN DATANG LAGI!

Ramadan datang lagi
Menyapa lembut jiwa-jiwa kami
Yang dahagakan keampunan

Ramadan datang lagi
Bersama hembusan angin suci
Yang menjanjikan rahmat dan berkat

Ramadan datang lagi
Memberikan peluang dan ruang
Bagi yang ikhlas mensucikan hati
Buat bekal perjalanan duniawi
Agar tetap teguh memburu redha Ilahi

Ramadan datang lagi
Apabila warna hati hampir kelabu
Membasuh dosa dan noda
Membalut duka dan luka

Dalam sepi perjalanan seorang hamba!

21 SYAABAN 1434

Assalamualaikum wbt,

Penbaca-pembaca di alam maya sekalian.

Walau sesaat kita mampu menunda masa mahu pun mempercepatkannya.  Teruslah masa berlari meninggalkan kita.  Kurang lebih 10 hari lagi kita akan bertemu Ramadan jika di panjangkan umur, insyaAllah.  

Ukhuwah Fillah atau persaudaraan kerana Allah mudah untuk disebut tetapi memerlukan jihad dan pengorbanan untuk melaksanakan.  Saya memandu hampir 3 jam pergi dan balik untuk melaksanakan satu misi ziarah.  Menziarah untuk mengenali. Agar berdekatan hati saya dengan hati mereka yang belum pernah saya kenali sebelum ini.  Inilah sebahagian dari tugas-tugas dakwah bagi  mereka-mereka yang kehidupannya adalah dakwah.

Muhammad bin Abdullah adalah contoh tertinggi dalam bab ukhuwah dan kesetiaan. Sehingga para sahabat   
merasakan merekalah yang paling dicintai oleh baginda.  Sesungguhnya nikmat dan kemanisan ukhuwah ini hanya dirasai oleh hati-hati yang diredhai oleh Allah swt.

Firman Allah swt "Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang daripadaKu dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasanKu"  (Thaha : 39)

Sempena Ramadan yang hampir tiba mari kita pertingkatkan keimanan.  Iman tertingkat, ukhuwah juga akan meningkat seiiring. Ukhuwah fillah yang ikhlas juga akan memudahkan kita mendapat perlindungan Allah di padang masyar kelak.  Sabda Rasulullah saw: Tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah di padang masyar kelak ialah:

1.  Pemimpin yang adil.

2.  Pemuda yang masa hidupnya digunakan untuk beribadat kepada Allah.

3.  Orang yang hatinya selalu terikat dengan masjid.

4.  Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah.

5.  Laki-laki yang diajak berbuat maksiat oleh wanita bangsawan lagi cantik, tetapi dia menolak dan berkata,  "Saya takut kepada Allah".

6.  Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.

7.  Orang yang selalu berzikir pada waktu menyendiri sampai mencucurkan air mata.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim